Ciri sejagat Pembelajinakan_haiwan

Biojisim bagi vertebrat liar kini semakin kecil berbanding dengan biojisim haiwan bela jinak. Biojisim terhitung bagi lembu bela jinak sahaja sudah melebihi biojisim bagi semua mamalia liar.[38] Oleh sebab evolusi haiwan bela jinak sedang berlangsung, proses pembelajinakan mempunyai permulaan tetapi tidak mempunyai pengakhiran. Beberapa kriteria telah diasaskan untuk menyediakan takrif bagi haiwan bela jinak, tetapi semua keputusan tentang titik masa tepat bagi pengenaan label "bela jinak" dari segi maksud zoologi adalah arbitrari, tetapi mungkin berguna.[39] Pembelajinakan ialah proses berubah-ubah dan bukan segaris yang mungkin bermula, berhenti, mengundur, atau melalui laluan tidak terjangka tanpa ambang jelas atau sejagat yang memisahkan yang liar dengan yang bela jinak. Walau bagaimanapun, terdapat ciri sejagat yang hadir umumnya pada semua haiwan bela jinak.[12]

Praadaptasi tingkah laku

Spesies haiwan tertentu, dan individu tertentu dalam spesies berkenaan, merupakan calon lebih baik untuk pembelajinakan berbanding dengan yang lain kerana ia menunjukkan ciri-ciri tingkah laku tertentu: (1) saiz dan aturan struktur sosialnya; (2) ketersediaan dan darjah kepemilihan dalam pilihan pasangan; (3) kemudahan dan kecepatan untuk induk mengadakan ikatan dengan anaknya, dan kematangan dan kebolehgerakan anak pada kelahiran; (4) darjah kelenturan pemakanan dan toleransi habitat; dan (5) gerak balas terhadap manusia dan persekitaran baharu, termasuk gerak balas lari dan kereaktifan terhadap rangsangan luaran.[12]:Rajah 1[13][14][15] Penurunan kewaspadaan terhadap manusia dan penurunan kereaktifan terhadap manusia dan rangsangan luaran lain merupakan praadaptasi kekunci untuk pembelajinakan, dan tingkah laku ini juga merupakan sasaran utama bagi tekanan-tekanan terpilih yang dialami oleh haiwan yang melalui pembelajinakan.[7][12] Ini menandakan bahawa bukan semua haiwan dapat dibelajinakkan, contohnya anggota liar bagi keluarga kuda, kuda belang.[7][35]

Jared Diamond, dalam buku beliau Guns, Germs, and Steel, telah menemukan sebab, antara 148 mamalia herbivor darat liar besar di dunia, hanya 14 dibelajinakkan, dan mencadangkan bahawa leluhur liar haiwan-haiwan ini mesti telah mempunyai enam ciri sebelum dapat dipertimbangkan untuk pembelajinakan:[3]:hlm. 168–174

Lembu Hereford yang dibelajinakan untuk penghasilan daging
  1. Pemakanan cekap – Haiwan yang dapat secekapnya memproses makanan dan hidup berdasarkan tumbuhan adalah kurang mahal untuk dijaga dalam kurungan. Karnivor memakan daging, lalu pembela jinak perlu membesarkan haiwan tambahan untuk menyediakan makanan untuk karnivor itu, lalu meningkatkan penggunaan tumbuhan.
  2. Kadar tumbesaran cepat – Kadar kematangan cepat berbanding dengan jangka hayat manusia membolehkan campur tangan pembiakbakaan dan menjadi haiwan berkenaan berguna dalam tempoh penjagaan yang dapat diterima. Sesetengah haiwan besar memerlukan banyak tahun sebelum mencapai saiz berguna.
  3. Kebolehan untuk membiak dalam kurungan – Haiwan yang tidak membiak dalam kurungan hanya terbatas kepada pemerolehan melalui penangkapan di alam liar.
  4. Perangai baik – Haiwan dengan perangai buruk berbahaya untuk disimpan di sekitar manusia.
  5. Kecenderungan untuk tidak cemas – Sesetengah spesies adalah gemuruh, cepat, dan cenderung lari apabila ancaman ditanggap.
  6. Struktur sosial – Semua spesies mamalia besar bela jinak mempunyai leluhur liar yang hidup dalam kawanan dengan tatatingkat kedominanan sesama anggota kawanan, dan kawanan-kawanan itu mempunyai pertindihan wilayah dan bukan wilayah yang sama-sama eksklusif. Aturan ini membolehkan manusia mengambil alih tatatingkat kedominanan.

Saiz dan fungsi otak

Penurunan saiz tengkorak dengan neoteni - tengkorak serigala kelabu dan tengkorak anjing Chihuahua

Pemilihan kekal untuk kereaktifan rendah sesama mamalia bela jinak telah menghasilkan perubahan ketara bentuk dan fungsi otak. Semakin besar saiz otak pada permulaan dan semakin tinggi darjah lipatan, maka semakin tinggi darjah penurunan saiz otak dalam pembelajinakan.[12][40] Rubah yang dibiakbakakan secara terpilih untuk kejinakan selama 40 tahun telah mengalami penurunan ketara dari segi tinggi dan lebar tengkorak dan, melalui inferens, saiz otak juga, lalu menyokong hipotesis bahawa penurunan saiz otak merupakan gerak balas awal terhadap tekanan terpilih untuk kejinakan dan kereaktifan rendah yang merupakan ciri sejagat bagi pembelajinakan haiwan.[12] Bahagian otak paling terjejas pada mamalia bela jinak ialah sistem limbik, yang pada anjing bela jinak, babi, dan biri-biri menunjukkan penurunan saiz sebanyak 40% berbanding dengan spesies liar haiwan-haiwan ini. Bahagian otak ini mengawal atur fungsi endokrin yang mempengaruhi tingkah laku seperti agresi, kewaspadaan, dan gerak balas terhadap stres aruhan persekitaran, semua atribut yang sangat terkesan oleh pembelajinakan.[12][40]

Pleiotropi

Salah satu sebab andaian untuk perubahan luas yang terlihat dalam sindrom pembelajinakan ialah pleiotropi. Pleiotropi berlaku apabila salah satu gen mempengaruhi dua trait fenotip atau lebih yang kelihatan tidak berkaitan. Perubahan fisiologi tertentu menentukan ciri-ciri haiwan bela jinak bagi banyak spesies. Perubahan-perubahan ini termasuk tanda putih meluas (terutamanya pada kepala), telinga terkelepai, dan ekor melingkar. Perkara ini bangkit juga apabila kejinakan merupakan trait yang dikenakan tekanan terpilih.[41] Gen-gen yang terlibat dalam kejinakan kebanyakannya tidak diketahui, maka cara atau takat sumbangan pleiotropi terhadap sindrom pembelajinakan juga tidak diketahui. Kejinakan mungkin disebabkan oleh pengawalaturan menurun bagi gerak balas ketakutan dan stres melalui pengurangan kelenjar adrenal.[41] Berdasarkan ini, hipotesis-hipotesis pleiotropi dapat dipisahkan kepada dua teori. Hipotesis Kresta Neural mengaitkan fungsi kelenjar adrenal dengan kekurangan sel kresta neural semasa perkembangan. Hipotesis Jaringan Pengawalaturan Genetik Tunggal mendakwa bahawa perubahan-perubahan genetik pada pengawal atur huluan menjejaskan sistem hiliran.[42][43]

Sel kresta neural (NCC) merupakan sel dasar embrio vertebrat yang berfungsi secara langsung dan secara tidak langsung semasa embriogenesis awal untuk menghasilkan banyak jenis tisu.[42] Oleh sebab trait-trait yang umumnya terjejas oleh pembelajinakan semuanya diterbitkan daripada NCC dalam perkembangan, hipotesis kresta neural mencadangkan bahawa kekurangan sel ini menyebabkan domain bagi fenotip-fenotip yang terlihat dalam sindrom pembelajinakan.[43] Kekurangan ini dapat menyebabkan perubahan yang terlihat pada banyak mamalia bela jinak, seperti telinga terpangkas (terlihat pada arnab, anjing, rubah, babi, biri-biri, kambing, lembu, dan keldai) serta ekor melingkar (babi, rubah, dan anjing). Sungguhpun ini tidak menjejaskan perkembangan korteks adrenal secara langsung, sel-sekl kresta neural mungkin terlibat dalam interaksi embriologi huluan relevan.[42] Tambahan pula, pemilihan buatan yang menyasarkan kejinakan boleh menjejaskan gen-gen yang mengawal tumpuan atau pergerakan NCC di dalam embrio, lalu membawa kepada bermacam-macam fenotip.[43]

Hipotesis jaringan pengawalaturan genetik tunggal mencadangkan bahawa sindrom pembelajinakan disebabkan oleh mutasi pada gen-gen yang mengawal atur pola ekspresis bagi lebih gen hiliran.[41] Contohnya bintik hitam-putih, atau warna bulu bertompok, yang mungkin disebabkan oleh rangkaian pada di laluan biokimia bagi melanin yang terlibat dalam warna bulu dan neurotransmiter seperti dopamina yang membantu dalam pembentukan tingkah laku dan kognisi.[12][44] Trait-trait berangkai ini mungkin bangkit daripada mutasi pada beberapa gen pengawalaturan kekunci.[12] Salah satu masalah dengan hipotesis ini ialah cadangannya bahawa mutasi dalam jaringan gen yang menyebabkan kesan dramatik yang tidak membawa maut, tetapi belum ada jaringan pengawalaturan genetik yang menyebabkan perubahan dramatik pada sungguh banyak trait berlainan.[42]

Pembalikan terhad

Mamalia jalang seperti anjing, kucing, kambing, keldai, babi, dan feret yang telah hidup terpisah daripada manusia selama banyak generasi tidak menunjukkan sebarang pemulihan jisim otak seperti otak leluhur liar haiwan-haiwan ini.[12][45] Dingo telah hidup secara terpisah daripada manusia selama beribu-ribu tahun tetapi masih mempunyai saiz otak sama dengan otak anjing bela jinak.[12][46] Anjing jalang yang giat menghindari pertembungan dengan manusia masih bergantung pada sisa manusia untuk kemandirian dan belum berbalik kepada tingkah laku mampan diri seperti tingkah laku serigala.[12][47]

Rujukan

WikiPedia: Pembelajinakan_haiwan http://www.uesc.br/cursos/pos_graduacao/mestrado/a... http://www.kora.ch/malme/05_library/5_1_publicatio... http://www.la-press.com/the-genetic-architecture-o... http://www.palaeobarn.com/sites/domestication.org.... http://www.palaeobarn.com/sites/domestication.org.... http://www.palaeobarn.com/sites/domestication.org.... http://www.palaeobarn.com/sites/domestication.org.... http://expeng.anr.msu.edu/sites/animalwelfare/file... http://www.hum.utah.edu/~bbenham/2510%20Spring%200... http://iliauni.edu.ge/uploads/other/15/15586.pdf